Penafian

SAYA TIDAK MEMBERI KEBENARAN KEPADA MANA-MANA PIHAK MENGGUNAKAN GAMBAR-GAMBAR MILIK SAYA BAGI TUJUAN PROMOSI, PERNIAGAAN ATAU APA-APA TUJUAN TANPA SEBARANG KEBENARAN BERTULIS DARI SAYA.

Turkey [part 1] : Evil Eye

welcome to Istanbul

Seminggu lebih kurang selepas pulang dari umrah pada akhir Februari 2013, adik saya menghubungi saya dan memaklumkan dia berada di Matta Fair. Beliau mengajak saya untuk ke Turki dan ingin meletakkan deposit pada salah satu pakej yang dia minati. Kata saya, "Apa yang ada di Turki? Best sangat ke? Bolehlah"

Kami akhirnya memilih pakej ke Turki bersama syarikat Poto Travel memandangkan tarikh yang paling akhir yang ditawarkan oleh syarikat ini untuk ke Turki pada tahun 2013 adalah bertolak pada 28/12/2013 dan pulang pada tahun 2014. Kami berdua pula sudah hampir kehabisan cuti tahunan dan tarikh ini adalah yang terbaik untuk kami berdua.

Walaupun saya ke Turki melalui agensi pelancongan, tetapi saya tetap mengambil inisiatif untuk membuat bacaan serba sedikit mengenai Turki khasnya sejarah penaklukan Kota Constantinople. Seorang teman pula meminjamkan saya CD filem Istanbul Aku Datang untuk saya tonton. 

Berkobar-kobar rasa nak pergi Istanbul lepas tengok movie ni!

Di lapangan terbang kami menunggu seperti arahan melalui email dan wakil Poto Travel yang bersama kami adalah Cik Fiena. Masih muda orangnya. Kami diberikan dengan tag dan jadual perjalanan serta taklimat ringkas sebelum penerbangan. Penerbangan Kuala Lumpur-Istanbul-Kuala Lumpur antara 9-11 jam perjalanan.  

Tiba di Lapangan Terbang Ataturk hari masih awal pagi. Kami menaiki bas persiaran yang disediakan khas untuk kami. Menariknya bas persiaran di sini disediakan dengan Wifi, dan pemandu yang dilantik turut menguruskan beg-beg kami. Dari sini wakil Poto Travel di Turki, Mr Levent ambil alih.

jambatan yang menghubungkan antara Asia dan Eropah

Tempat pertama yang akan kami tuju adalah Bursa maka kami bersama bas menaiki feri dari Eskihisar merentasi Laut Marmara. Apabila tiba di tengah laut Mr Levent meminta kami semua turun dari bas untuk menikmati pemandangan mahupun untuk mendapatkan minuman panas dari cafe yang ada di dalam feri. Musim sejuk di sini menjadikan pemandangan dari tengah laut sangat indah. Indah-indah juga ye, sejuk sampai ke tulang.

laut Marmara
tengok apa tu?
pemandangan di awal pagi laut Marmara
tengoklah burung-burung tu

Kami seterusnya tiba di Yalova dan meneruskan perjalanan melalui Orhangazi dan Gemlik sebelum tiba di Bursa. Bursa ini terkenal kerana suteranya. Tempat pertama yang kami kunjungi adalah Koza Han.

monumen yang dilihat dalam perjalanan ke Bursa

Koza Han iaitu Bazar Sutera telah wujud sejak tahun 1491 merupakan bangunan dua tingkat yang telah dibina oleh Sultan Bayezid II yang dipenuhi dengan kedai-kedai kecil menjual sutera serta pelbagai cenderahati lain. Saya tidak melepaskan peluang membeli sehelai scarf sutera dan cenderahati  kegemaran saya, fridge magnet dengan tema Bursa.


Mr Levent sedang bagi taklimat
air pancur di luar bangunan Koza Han
di pintu masuk Koza Han
penerangan tentang sejarah Koza Han
me & my sis


NOTA
Sekiranya berminat untuk kumpul fridge magnets (FM) mengikut tempat yang anda singgah seperti di Bursa, beli terus jangan bertangguh dan beranggapan boleh beli FM Bursa di Istanbul. Tidak ada.


Koza Han ini mempunyai senibina yang indah sekali. Terletak di tengah kawasan bazar ini adalah laman yang luas yang pada masa kini diletakkan dengan kerusi meja cafe-cafe yang berada di tingkat bawah. Masjid kecil yang terletak di tengah-tengah laman memang menggamit pandangan kerana di bawah masjid ini terdapat air pancur.

laman Koza Han

Kami kemudian dibawa ke Masjid Ulu atau Ulu Cami dalam bahasa Turki, untuk kami menunaikan solat. Masjid ini telah di bina pada tahun 1399.


Ulucami 1399


my sister & fiena (Potos's)

Saya tidak lepaskan peluang untuk menghayati dekorasi di dalam masjid yang dihiasi dengan tulisan-tulisan khat pelbagai saiz terletak di dinding juga tiang masjid. Apa yang menariknya di masjid ini, tempat ambil wudhuknya berada di tengah-tengah masjid secara terbuka. Melihat kepada hiasan tempat wudhuk sudah pasti ianya telah dibina sejak lama dahulu lagi.

dalam masjid
salah satu pintu dari dalam masjid
seni khat
tempat wudhuk. airnya sejuk sekali

Di luar kawasan masjid terdapat beberapa lagi tempat ambil wudhuk. Setiap satunya punyai ciri binaan yang berbeza. Mungkin di bina dalam era masa yang berlainan. 






Usai solat, kami dibawa pula ke tempat makan tengahari di sebuah restoren bernama Daruzziyate. Menu makanan Turki adalah berunsur mediterranean. Sihat sungguh rasa. Salad wajib dihidangkan. Di restoren ini selain salad, kami juga dihidangkan dengan sup dan roti serta makanan berat yang dikenali sebagai Hünkar Beğendi.

di depan restoren
tak sabar nak cuba makanan turki

Hünkar Beğendi ataupun diterjemah sebagai Kegemaran Sultan (Sultan's Delight/Sultan's favourite) merupakan daging kambing yang dimasak di dalam sos tomato di hidang atas puri terung penuh krim. Cili tu hiasan semata. Tak pedas langsung. Sesiapa yang datang ke Turki mesti cuba menu ini. Sangat enak walaupun tidak pedas. 


salad. hidangan wajib di sini
roti dan sup juga disediakan
Hunkar Begendi

Selesai menjamu selera kami menuju pula ke Yesil Carsi atau Pasar Hijau. Dalam perjalanan untuk menaiki bas kami melalui muzium dan juga kawasan rumah penghuni di sini. Teringat pula movie Istanbul Aku Datang saat Lisa Surihani mencari rumah untuk di sewa.


bangunan ini terletak berhampiran dengan restoren rupanya suatu masa dahulu digunakan sebagai tempat untuk memberi makan kepada orang miskin

Ottoman Folk Costumes & Jewellery Museum

kononnya

Di Yesil Carsi aksesori dari silver banyak di jual di sini selain pelbagai cenderahati dan t-shirt. Di bangunan bazar ini saya tertarik dengan tangkal yang di letakkan pada bangunan yang dikenali sebagai Kem Gözler atau evil eye.




Masyarakat setempat percaya bahawa tangkal ini dapat mengelakkan seseorang daripada terkena pandangan evil eye yang boleh membawa akibat buruk atau kecelakaan ke atas seseorang. Seperti biasa saya mendapatkan fridge magnet berbentuk evil eye. Saya juga membeli t-shirt untuk diri sendiri serta keluarga di sini, memandangkan harga yang ditawarkan adalah munasabah. Tak perlu lagi saya memikirkan cenderahati untuk keluarga.


Shawl & fm Koza Han yang di beli di Koza Han, serta tshirt & fm Evil Eye dari Yesil Carsi





NOTA

T-shirt yang dijual di Yesil Carsi mempunyai kualiti yang lebih baik malah banyak corak yang kami temui di sini agak unik berbanding di Grand Bazaar, Istanbul

Dari Pasar Hijau kami terus ke Yesil Turbe iaitu Makam Hijau. Kenapa ianya di panggil Makam Hijau? Kerana ianya di hiasi dengan marmar yang berwarna kehijauan. Makam ini telah dibina sejak tahun 1421 lagi menempatkan Sultan Empayar Uthmaniah Ke-5, Mehmed I.




pintu masuk
dinding di bahagian luar
dalam makam



Dari makam, kami ke Yesil Cami yang terletak berhampiran. Yesil Cami atau Masjid Hijau juga mendapat nama dari binaannya yang menggunakan marmar berwarna kehijauan. Air pancur yang keluar dari ukiran batu marmar di dalam kolam berbentuk oktagon dalam masjid menambah keindahan senibina masjid ini.




berlatarbelakang ukiran khat di pintu masuk
ukiran indah di atas pintu masuk
ruang solat
dinding dalam masjid yang berwarna hijau
ruang solat

air pancur dalam kolam berbentuk oktagon

Lawatan kami berakhir di sini dan kami daftar masuk hotel dan seterusnya makan malam. Seperti biasa. Salad dihidangkan bersama makanan berat. Tak sabar rasa nak ke Pamukkale pula.

di luar masjid
pemandangan indah musim sejuk
menu makan malam kami
salad

8 comments:

  1. Perkongsian yg sgt baik dgn foto2 yg memberi gambaran secara langsung seolah 2 turut berada di Turki. Kian bertambah azam dan tekad utk turut menjejakkan kaki ke bumi bersejarah ini suatu waktu nanti. Lebih dr segalanya suka lihat gaya penulis yg memang Stylo....

    ReplyDelete
  2. Perkongsian yg sgt baik dgn foto2 yg memberi gambaran secara langsung seolah 2 turut berada di Turki. Kian bertambah azam dan tekad utk turut menjejakkan kaki ke bumi bersejarah ini suatu waktu nanti. Lebih dr segalanya suka lihat gaya penulis yg memang Stylo....

    ReplyDelete
  3. suka cerita ko nih.... penulisan bersahaja.. mmg dpt rasa seolah2 di sana

    ReplyDelete
  4. sori mori ler..baru jumpe blog ni mggu lps..bloggersnya tak reply pun x po

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ahai sorry sangat..bulan 3 busy sampai xberapa sempat nak check blog. Turkey memang tempat yg sy highly recommend utk pergi. Nak² musim bunga & luruh.

      Delete

7 Days, 7 Favourites