Penafian

SAYA TIDAK MEMBERI KEBENARAN KEPADA MANA-MANA PIHAK MENGGUNAKAN GAMBAR-GAMBAR MILIK SAYA BAGI TUJUAN PROMOSI, PERNIAGAAN ATAU APA-APA TUJUAN TANPA SEBARANG KEBENARAN BERTULIS DARI SAYA.

Turkey : Sejarah


Kebetulan saya pergi ke Turki tidak lama selepas kematian allahyarham adik Ahmad Ammar. Ramai sahabat yang bertanya tentang kubur adik Ammar. Malangnya saya tidak dapat menjawab langsung pertanyaan sahabat dan kenalan saya, tidak tahu adik Ammar dikebumikan di lot mana satu. Persediaan ilmiah saya sebelum ke Turki adalah bacaan tentang hadith Rasulullah SAW tentang penaklukan Constantinople (nama lama Istanbul) dan tentang sahabat nabi yang bernama Abu Ayub Al-Ansari.

NOTA
Sekiranya berhajat untuk melawat kubur adik Ahmad Ammar, pastikan buat persedian awal, dapatkan nombor lot dan sebagainya kerana kawasan perkuburan tersebut luas, bertingkat-tingkat serta mempunyai lot-lotnya tersendiri.

Kalau korang nak ke Turki (terutama yang beragama islam) saya cadangkan selain ambil tahu tentang bangunan-bangunan cantik, makan sedap, pemandangan yang tak dapat di gambarkan dengan kata-kata, study lah serba sedikit tentang hadith nabi berkaitan penaklukan Constantinople dan juga tentang Abu Ayub Al-Ansari. Pasti tersentuh hati dengan kegigihan umat islam silam saat kita menyelusuri tembok yang di tembus masuk oleh Sultan Mohammad Al Fateh.


Tuntutan Hadith

Rasulullah SAW bersabda ketika menggali parit dalam peristiwa perang Khandaq:

"Constatinapole akan jatuh ke tangan tentera Islam, Rajanya ialah sebaik-baik raja, tenteranya ialah sebaik-baik tentera" 
~ Riwayat Imam Ahmad 

Semenjak daripada itu telah ramai sahabat serta pemimpin umat islam yang cuba menakluki Constantinople bagi memenuhi sabda Rasulullah SAW. Dikatakan tidak kurang daripada 8 kempen daripada keseluruhan 29 kempen telah dilancarkan. Lapan kempen terbesar ini lima darinya di zaman Umayyah, satu kempen di zaman kerajaan Abbasiyah dan dua kali pada zaman kerajaan Uthmaniyyah. 

Kempen pertama di zaman kerajaan Umayyah pada tahun 44H (674M) telah diketuai oleh Yazid Bin Muawwiyah Bin Abi Suffian. Operasi ini turut disertai oleh sahabat nabi bernama Abu Ayub Al-Ansari yang ketika itu sudah berusia 98 tahun demi memenuhi tuntutan hadis dan janji penghormatan dari Allah SWT. 


Ayub Al-Ansari

Abu Ayub Al-Ansari r.a atau nama sebenarnya ialah Khalid Bin Zaid Bin Kulaib dari Bani An-najjar. Beliau mendapat perhormatan saat Nabi SAW berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. 

Ketika itu kaum Ansar berharap agar unta Rasulullah SAW berhenti di hadapan rumah mereka dan Nabi SAW akan menumpang di rumah mereka. Kehadiran Rasulullah SAW di rumah mereka merupakan satu penghormatan besar. Akhirnya unta Rasulullah SAW berhenti di hadapan rumah Abu Ayub Al-Ansari. Abu Ayub sangat gembira dan berbesar hati lalu membawa barang-barang Rasulullah SAW masuk ke rumahnya dengan penuh hati-hati.

Dalam kempen menakluki Constantinople ini Ayub Al-Ansari mengalami keuzuran yang sangat teruk hingga beliau tidak mampu untuk menggalas pedangnya sendiri. Yazid Al-Muawwiyah telah menziarahi Abu Ayub yang sedang sakit lalu bertanya:-

"adakah tuan mahu apa-apa wahai Abu Ayub"


Jawab Abu Ayub Al-Ansari,

"Sampaikan salamku kepada seluruh kaum muslimin dan beritahulah mereka, Abu Ayub mahukan mereka menembusi seberapa jauh tembok Constantinople sehingga mereka beroleh kemenangan dan mengebumikan mereka (tentera Kristian Rom Byzantine) di bumi Constantinople"

Abu Ayub Al-Ansari cuba menaikkan semangat tentera Islam. Dan setelah itu keuzurannya semakin menjadi-jadi lalu Abu Ayub berwasiat agar menguburkan jasad beliau di luar tembok Constatinople. Ketika di tanya kenapa beliau hendak dikuburkan di situ. Ujar beliau:-

"Aku dengar Rasulullah SAW mengatakan bahawa akan ada seorang lelaki soleh dikuburkan di bawah tembok tersebut, dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang akan memimpin sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople"

NOTA
Masjid Eyub Sultan terletak berhampiran dengan laut dan benar memang masjid tersebut dalam laluan tembok era Constantinople.  Ketika saya melawat, kawasan makamnya sedang dalam proses baik pulih.

Masjid Eyub Sultan

Sultan Muhammad Al-Fateh

Kegagalan demi kegagalan untuk umat muslimin menembusi tembok Constantinople. Hadis Rasulullah SAW hanya menjadi kenyataan selepas 800 tahun. Ia disempurnakan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh , khalifah ke-7 dinasti kerajaan Uthmaniyyah bersama kira-kira 265,000 orang tentera.

Nama sebenar baginda ialah Sultan Muhammad Bin Murad Bin Muhammad Bin Bayazid. Telah di lahirkan pada 29/03/1432M (833H) di Andrianapolis (bandar sempadan Turki-Bulgaria). Gelaran "Al-Fateh" kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Sultan Murad II iaitu ayahandanya seorang bapa yang sangat tegas dan telah menyediakan guru-guru yang terdiri daripada golongan ulama yang berwibawa demi pendidikan Muhammad Al-Fateh. Tetapi guru yang sebenar yang telah membimbing Sultan Muhammad ini ialah Sheikh Shamsuddin Al Wali. Selain ilmu agama, Muhammed Al-Fateh juga telah di asuh dengan ilmu matematik, falak, sejarah, taktik perperangan, memanah dan menunggang kuda. Baginda juga fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Parsi, Latin, Greek, Serbia, Turki dan Hebrew.

Baginda juga seorang yang bersifat tawadduk dan rendah diri. Ini terbukti ketika membina kubu Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya lalu mengangkat batu dan pasir hingga ulama dan menteri terkesima lalu mereka pun turut sama bekerja.

Kubu Rumeli Hissari

Gerakan Penaklukan Constantinople


Sejak belum menaiki tahta Baginda telah menunjukkan minat mendalam berkaitan penaklukan Kota Constantinople. Selepas menaiki tahta baginda mula menyediakan angkatan tentera yang besar sekitar 265,000 orang malah mengarahkan pembinaan pelbagai peralatan perang yang canggih pada zaman itu antaranya adalah meriam gergasi yang pelurunya sahaja seberat 300 kilo dengan tembakan sejauh 1.5 km!

meriam yang dibina atas arahan Sultan Muhammad Al-Fateh
Saat tentera pimpinan Sultan Muhammad berlayar menghampiri Constantinople, baginda mengarahkan agar azan dilaungkan dan solat berjemaah didirikan. Tentera Byzantine menjadi gementar melihat tentera muslimin sebanyak 265,000 orang solat dibelakang pemimpin mereka.

Kota Constantinople dikelilingi 3 penjuru lautan, iaitu Laut Marmara, Selat Bosphorus dan Teluk Golden Horn. Kemasukan kapal-kapal tentera muslim telah dihalang oleh rantai gergasi yang di pasang di Teluk Golden Horn.    

rantai besi yang di pasang dalam laut di Teluk Golden Horn bagi menghalang kemaraan tentera islam
credit blog Ibnu Hashim

Maharaja Byzantine telah memandang rendah keupayaan tentera muslimin dengan menolak tawaran Sultan Muhammad untuk menyerahkan kota Constantinople secara baik. Kota Constantinople telah dikepung dan mulai diserang selama 48 hari mulai hari Rabu 19/04/1453M (12 Rabiul Akhir 857H). Walaupun dihujani dengan peluru daripada meriam gergasi hanya bahagian luar tembok sahaja yang rosak.


sistem pertahanan kubu Kota Constantinople
credit blog usahrisau

NOTA
Siapa yang jejak kaki ke Istanbul carilah sisa tinggalan kubu kota Constantinople yang masih ada hingga hari ini. Pasti kagum.


sebahagian kubu Constantinople yang masih utuh

Baginda menggunakan pula taktik dengan menggunakan menara bergerak yang lebih tinggi daripada tembok kota Constantinople yang boleh memuatkan ratusan tentera di dalamnya. Tetapi tentera Byzantine berjaya memusnahkan menara tersebut.

Pope dari Rome telah menghantar bantuan ketenteraan sebanyak lima armada bagi membantu tentera Byzantine menentang serangan tentera muslimin. Dalam diam Maharaja tersebut cuba memberi rasuah kepada Sultan Muhammad Al-Fateh bagi menyelamatkan kedudukannya. Akan tetapi telah di tolak dengan tegas oleh baginda.

Tentera islam tetap cuba menembusi kota Contanstinople tetapi masih lagi gagal. Kegagalan berterusan menyebabkan Maharaja Byzantine menjadi lega. Namun kegembiraan maharaja dan penduduk Constantinople tidak lama.

Pada 22/04/1453M penduduk Constantinople terpinga-pinga bila menyedari bahawa terdapat 72 buah kapal tentera muslimin telah memasuki perairan Teluk Golden Horn sedangkan rantai besi telah di pasang!

Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh merupakan pemimpin yang amat bijaksana. Baginda telah bersama-sama bala tenteranya mengangkat kapal-kapal perang melalui bukit Galota di seberang Teluk Golden Horn dan meluncurkan semula kapal-kapal tersebut ke dalam teluk. Tindakan baginda diiktiraf sebagai taktik peperangan terbaik di dunia oleh sarjana barat.

Keesokkan harinya tentera islam cuba memanjat dan melastik kubu Constantinople menggunakan lastik gergasi tetapi tentera Byzantine melawan dengan sengit hingga ramai tentera muslimin mati syahid. Peperangan yang berterusan tanpa menunjukkan tanda kejayaan melunturkan semangat dan mendatangkan rasa bosan di kalangan tentera islam. Lalu baginda berucap bagi menaikkan semangat tenteranya:-


"wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati dijalan Allah. Siapa yang inginkan syahid ikutlah aku"

Lantas seorang tenteranya bernama Hassan Ulubate mengetuai kumpulan seramai 30 orang tentera menyebu masuk kubu musuh dan berjaya memacakkan bendera islam di puncak menara. Kesemua mereka syahid akibat terkena panah musuh. Melihat kibaran bendera Islam walaupun hanya terpacak seketika di menara telah membangkitkan semula semangat tentera islam. Mereka menyerbu masuk bertali arus bersama laungan "Allahuakbar" hingga mendatangkan kesan psikologi di kalangan tentera musuh. Tidak cukup dengan itu tentera Byzantine dikejutkan pula dengan berita bahawa tentera islam telah lama menggali terowong untuk memasuki kota Constantinople.

Pada 29/05/1453M (20 Jamadil Awal 857H) Kota Constantinople telah jatuh ke tangan tentera islam. Namanya ditukar kepada Islambol yang membawa maksud islam keseluruhan dan kemudiannya dikenali sebabai kota Istanbul. Gereja besar St Sofies telah ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Dengan tawadduknya Sultan Mohammad Al-Fateh melumurkan tanah ke dahinya lalu menunaikan sujud syukur.

Rajanya, sebaik-baik raja


Ketika tiba solat jumaat pertama di Contantinople, timbul isu siapa yang sepatutnya dilantik menjadi imam kepada solat jumaat. Lalu baginda Sultan Muhammad mengarahkan semua tenteranya berdiri lalu berkata:-

"Siapa yang sejak baligh hingga kini tidak pernah meninggalkan solat fardhu sila duduk"

Tidak ada seorang tenteranya pun duduk. Tanya baginda lagi:-

"Siapa yang sejak baligh tidak sekalipun meninggalkan solat rawatib walau sekali sila duduk"

Sebahagian daripada tenteranya ada yang duduk. Lalu baginda bertanya lagi. 

"Siapa antara kalian yang tidak pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam sejak baligh sila duduk"

Semua tenteranya duduk kecuali baginda sultan. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh.


Tenteranya, sebaik-baik tentera

Ketika dalam perjalanan ke Constantinople, Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya melalui kawasan ladang anggur yang buah anggurnya sedang masak ranum. Baginda berpesan kepada tenteranya agar tidak mengambil anggur-anggur tersebut.

Setelah melepasi ladang tersebut mereka akhir berhenti di satu kawasan. Mendirikan khemah dan berehat. Ketika itu pembantu baginda keluar daripada khemah Sultan Muhammad dan memberitahu bahawa baginda jatuh sakit dan setelah diperiksa oleh tabib ubat kepada penyakitnya adalah buah anggur.

Pembantu baginda meminta agar para tentera memberikan buah anggur sebagai ubat baginda kerana tanpa buah tersebut sakit baginda akan bertambah berat. Tidak ada seorang pun tenteranya yang dapat memberikan buah anggur kepada pembantu tersebut. Lalu baginda Sultan keluar dari khemahnya sambil memuji tenteranya yang pada pendapatnya bukan sahaja kuat dari segi fizikal tetapi turut kuat dari segi rohani. Malah, taat kepada perintah baginda. 

CREDIT



No comments:

Post a Comment

7 Days, 7 Favourites